Tuesday, July 7, 2009

PPSMI dimansuh!

PPSMI dimansuh! demikian diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhiddin Yasin, selaku Menteri Pelajaran. Suatu pengumuman yang sekian lama dinantikan oleh sebahagian rakyat Malaysia, penulis, guru dan pelajar. Dengan pengumuman penting tersebut, adalah diharapkan kuasa Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam semua bidang pendidikan sama ada di sekolah rendah hingga ke peringkat universiti dapat disusun atur dan menjadi lingua franca alaf baru dan dibumbui dengan semangat dan iltizam semua pihak. Apapun, tahniah kepada Menteri Pelajaran Malaysia dan Timbalannya, Dr.Puad.

Calon SPM SMK.Sungai Damit-hebat

Semasa menyampaikan ceramah BM 1 dan 2 di SMK.Sungai Damit pagi tadi, saya teruja dengan kesungguhan dan keyakinan semua peserta. Saya percaya dengan sedikit tips yang telah diberikan sudah tentu memberikan input yang berguna kepada mereka dalam upaya mereka menghadapi SPM 2009. Apa yang sangat signifikan ialah semua calon dapat mengekalkan disiplin diri dan motivasi yang tin sehingga selesai. Saya sempat berkongsi cerita motivasi dan mendendangkan seloka aduhai pak pandir

Friday, July 3, 2009

Jayakan BM SPM laksanakan Seorang Pejuang

Hari ini saya sangat bertuah dapat bersemuka dengan pelajar-pelajar SPM SMK.Limbanak, Penampang. Saya merasakan seperti saya berada di sekolah sendiri. Apa diharapkan kepada pelajar SMK.Limbanak ialah mengekalkan peratus kelulusan 100%. Walaupun bekalan elektrik terputus tetapi perhatian dan kerjasama semua pelajar sangat-sangat membanggakan saya. Kepada semua calon SPM, jayakan BM anda, persis seorang pejuang. Seorang pejuang tidak pernah mengenal putus asa. SPM adalah cabaran yang harus ditempuhi. Saya tidak sangka pula bertemu dengan rakan setugas dulu (Cikgu Kristina Sendulun). Kepada Cikgu Rozita, tahniah kerana dapat mengurus dan mengendalikan program dengan baik.

Wednesday, July 1, 2009

Andai BM perlu kredit SPM?

Ramai rakan-rakan yang mengajukan persoalan tersebut dan meminta pandangan saya. Andai BM dijadiakan sebagai bahasa PERKASA dalam ujana pendidikan negara dan diputuskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, bahawa mata pelajaran ini wajib kredit atau kepujian, sekurang-kurangnya C6 di peringkat SPM sudah tentu menimbulkan pelbagai reaksi sama ada pelajar mahupun ibu bapa. Bagi guru Bahasa Melayu, seperti saya, sudah semestinya menyokong hasrat dan cadangan tersebut.

Friday, June 26, 2009

Guru Alaf Baharu SMK.Narinang

Sejak saya bertugas di SMK.Narinang pada tahun 1998, sudah terdetik dalam minda saya bahawa suatu hari nanti SMK.Narinang akan menjadi sebuah sekolah yang boleh dibanggakan oleh warga sekolahnya. Kini 2009, suatu jangka masa yang lama buat seorang guru seperti saya berada di sekolah luar bandar. Namun, hakikatnya, saya masih setia berada di sini. Masih bersemangat untuk mencurahkan ilmu kepada anak-anak Kadamaian, apatah lagi anak-anak tercinta saya berada di sekolah yang sama. Justeru itu, sebagai guru Bahasa Melayu saya perlu akur dengan perubahan yang baharu iaitu menguasai ICT untuk diaplikasi dalam pengajaran dan pembelajaran BM. Saya percaya kepada inovasi yang baharu akan menarik minat pelajar. Saya harap rakan-rakan guru di SMKN juga berfikir seperti saya..

Thursday, June 25, 2009

Kem Motivasi UPSR SK.Podos

Saya rasa bertuah apabila mendapat pelawaan daripada pihak penganjur Kem Kecemerlangan Pelajar SK.Podos untuk menyampaikan motivasi kepada pelajar UPSR 2009. Saya melihat kesediaan peserta mendengar dan memahami setiap tutur bicara saya. Jauh di sudut hati, terdetik suatu perasaan kagum dengan semangat peserta. Walaupun mereka jauh di pedalaman, namun keinginan untuk maju seperti pelajar di sekolah lain tetap membara. Semoga usaha murni seperti ini dapat diteruskan. Kalau bukan pelajar siapa lagi. Ternyata slogan baru PM sangat bertepatan dalam konteks menglahirkan pelajar yang berkualiti.

Saturday, June 13, 2009

Bahasa Inggeris wajib Lulus

Apabila Tan Sri Muhiddin Yasin mencadangkan pelajar perlu lulus Bahasa Inggeris di peringkat SPM, terdetik dalam hati adakah ini petanda PPSMI akan dimansuhkan. Jika betul, saya tabik Menteri Pelajaran. Saya yakin, pelajar boleh menguasai BI dengan lebih baik. Jika alasan untuk mencari pekerjaan melalui BI sahaja tidak memadai kerana ramai orang yang tidak mempunyai pendidikan tinggi pun boleh berkomunikasi dengan baik dalam BI. Saya menyokong penuh cadangan tersebut dan pada masa yang sama saya mahu melihat Bahasa Melayu kembali diperkasa dalam semua urusan pentadbiran di negara ini.