Wednesday, August 5, 2009

Sikap Penentu Kejayaan Seorang Pelajar

Hari ini saya berkesempatan menyampaikan ceramah Teknik Menjawab Bahasa Melayu Kertas 1 & 2 di Dewan SMKN. Berdasarkan pengamatan, saya yakin setiap pelajar mempunyai peluang untuk mencapai kejayaan dalam SPM 2009. Cuma yang perlu diatasi dan dirobah ialah SIKAP pelajar yang membatasi kemampuan mereka yang sebenar. Setiap pelajar dilahirkan untuk berjaya dan memberikan sumbangan yang besar dalam keluarga masing-masing. Sikap yang positif dan mahu berubah ke arah yang lebih baik berbanding sebelumnya adalah sikap terpuji yang harus dipupuk dalam jiwa dan minda pelajar. Saya menyakini kemampuan pelajar-pelajar saya. Usaha, tekad, sikap musahabah diri dan berkat Tuhan pasti menjadikan impian merangkul A1 dalam mata pelajaran Bahasa Melayu -TERCAPAI.

Saturday, August 1, 2009

Kepentingan Memahami Maksud Sajak SPM

Sajak merupakan hasil karya sastera yang mempunyai elemen tersendiri yang perlu difahami sepenuhnya. Berlainan dengan karya lain seperti novel, cerpen, prosa tradisional dan drama, sajak perlu dihayati dengan menggunakan mata lahiriah dan batiniah. Karya sajak dalam Antologi Kerusi dan Anak Laut memerlukan penghayatan yang bukan sedikit. Justeru dalam hal ini, kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar SPM ialah memahami maksud yang tersurat yang dipaparkan dalam sajak tersebut. Selepas memahami intipati maksud sajak barulah pelajar mencari makna tersirat yang dikupas oleh penyair. Kegagalan calon memahami maksud sajak akan memberikan impak negatif terhadap persepsi calon terhadap sesebuah karya sastera. Oleh sebab itu, calon wajib mengkaji setiap sajak sama ada dari aspek intrinsik ataupun ekstrinsiknya..Mudah-mudahan dengan penghayatan dan diskusi sajak yang dibuat semasa P&P serta perbincangan dan Diskusi Kumpulan akan membuah hasil..Ayuh bertindak sekarang!!!

Tuesday, July 28, 2009

Bengkel Pemarkahan BM 1& 2

Pengalaman memeriksa karangan pelajar semasa bengkel pemarkahan Bahasa Melayu Kertas 1 dan Kertas 2, memberikan perasaan yang lain dalam diri saya. Perasaan bangga dan puas hati wujud kerana rakan-rakan yang membaca, menilai dan seterusnya memberikan komen terhadap karangan pelajar yang saya benar-benar menyentuh hati seorang guru Bahasa Melayu seperti saya. Rata-rata rakan sejawat memberikan markah yang tinggi kepada Adik Kelly Sinam- 85%. Saya yakin pelajar ini akan menjadi "ayam tambatan" dalam SPM 2009. Mudah-mudahan..

Sunday, July 26, 2009

Nota Poket dan Kepentingannya

Kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik dapat dinilai melalui keputusan yang mereka raih dan mendapat pengiktirafan daripada pihak sekolah, ibu bapa dan rakan-rakan. Saya melihat satu teknik yang digunapakai oleh pelajar yang cemerlang ialah dengan menggunakan Nota Poket. Nota poket yang sarat dengan nota pendek bagi mata pelajaran teras dan elektif memberikan keyakinan kepada pelajar untuk mengingati sesuatu tajuk/kemahiran. Melalui Nota Poket yang mereka bawa setiap hari di sekolah dapat dibaca dalam apa juga keadaan sama ada semasa menunggu guru masuk ke kelas, menunggu kereta sewa atau dalam apa juga situasi - Nota Poket memang berguna kepada pelajar. Hasilnya, saya melihat ramai pelajar mendapat keputusan yang tinggi ketika keputusan peperiksaan diumumkan. Namun, masih ada pelajar yang tidak menggunakan kelebihan Nota Poket ini.. Alangkah rugi jika pelajar berpandangan sempit dan hanya mengharapkan nota daripada guru..fikir-fikirkanlah ye..

Wednesday, July 15, 2009

Kepentingan Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga

Pagi tadi, ketika bersama-sama dengan pelajar Tingkatan 6RK1, saya dapat merasakan peri pentingnya buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga dimiliki atau sekurang-kurangnya mereka pinjam dari Pusat Sumber Sekolah. Reaksi pelajar yang agak lambat terhadap tajuk yang diajar, adalah disebabkan kurangnya "data" yang cukup mengenai tatabahasa..Saya percaya buku ini akan menjadi teman yang sejati semasa berada di 6RK1 hingga STPM tahun depan. Selain buku ini, buku tatabahasa yang ditulis oleh Prof.Dr.Abdullah Hassan, Prof.Asmah Omar dan Prof Dr.Awang Sariyan juga perlu dibaca. Saya yakin pelajar yang rajin menelaah akan menjadi pelajar yang pintar dan berwibawa.

Sunday, July 12, 2009

Pendekatan SATU

Pendekatan SATU yang saya amalkan dalam pengajaran dan pembelajaran belum lagi menjadi budaya belajar pelajar. Apa yang ditekankan dalam Pendekatan SATU ini ialah memerlukan penglibatan 100% pelajar. SA- Sedia Awal - yang bermaksud pelajar perlu membaca, membuat nota mengenai sesuatu tajuk/topik yang belum diajar oleh guru. Dengan demikian akan memudahkan pelajar tersebut memahami penjelasan guru semasa proses P&P. T-TUMPUAN -yang bermaksud -pelajar perlu memberikan 100% perhatian/tumpuan semasa guru memberikan penerangan. Dengan memberikan tumpuan serta bertanya jika tidak faham-akan memudahkan proses penaakulan pelajar terhadap sesuatu tajuk pelajaran. U pula bermaksud -Ulangkaji. Pelajar perlu membuat ulangkaji sesuatu topik/tajuk pelajaran ketika berada di rumah selepas menyiapkan tugasan/kerja rumah.
Pendekatan inilah yang telah saya jelaskan kepada semua calon SPM di SMK.Tambulian pagi tadi. Saya memberikan penekanan betapa penting membaca makalah yang mengandungi fakta atau membahaskan isu-isu semasa. Pelajar yang kurang membaca akan menghadapi dilema ketika menulis karangan pada peringkat SPM. Malah ada pelajar yang langsung tidak dapat menulis satu ayat pun..kerana kekeringan idea. Jika pelajar rajin membaca buku, majalah seperti Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Kosmik, Pelita Bahasa dsb, sudah tentu gejala 'kemandulan idea" ini tidak akan terjadi kepada pelajar. Kepada semua calon SPM di SMK.Tambulion, saya percaya dan yakin anda semua dapat mencapai kelulusan yang terbaik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, jika mengamalkan Pendekatan SATU..Teruskan perjuangan anda.

Saturday, July 11, 2009

Penghayatan Komsas

Pelajar yang menghadapi SPM 2009 perlu mempunyai pemikiran yang kiris dan kreatif. Penghayatan yang menyeluruh terhadap mata pelajaran ini bukan sahaja memberikan nilai tambah kepada pelajar tetapi akan dapat memberikan keyakinan diri untuk menduduki SPM 2009. Sepanjang pemerhatian saya kepada pelajar yang mengikuti ceramah Teknik menjawab Soalan Bahasa Melayu, saya mendapati pelajar kurang memahami aspek komsas. Ramai antara mereka yang mengatakan bahawa ' mereka tidak mempunyai masa untuk membaca cerpen, drama, prosa klasik apatah lagi novel". Oleh sebab itu, saya menyarankan supaya setiap pelajar perlu memghayati setiap teks dalam antologi Kerusi dan Anak Laut supaya memudahkan pelajar menjawab aspek komsas. Pepatah Melayu mengatakan , "Kalau Tidak Dipecahkan Ruyung, Manakan Dapat Saguny"..

Tuesday, July 7, 2009

PPSMI dimansuh!

PPSMI dimansuh! demikian diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhiddin Yasin, selaku Menteri Pelajaran. Suatu pengumuman yang sekian lama dinantikan oleh sebahagian rakyat Malaysia, penulis, guru dan pelajar. Dengan pengumuman penting tersebut, adalah diharapkan kuasa Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam semua bidang pendidikan sama ada di sekolah rendah hingga ke peringkat universiti dapat disusun atur dan menjadi lingua franca alaf baru dan dibumbui dengan semangat dan iltizam semua pihak. Apapun, tahniah kepada Menteri Pelajaran Malaysia dan Timbalannya, Dr.Puad.

Calon SPM SMK.Sungai Damit-hebat

Semasa menyampaikan ceramah BM 1 dan 2 di SMK.Sungai Damit pagi tadi, saya teruja dengan kesungguhan dan keyakinan semua peserta. Saya percaya dengan sedikit tips yang telah diberikan sudah tentu memberikan input yang berguna kepada mereka dalam upaya mereka menghadapi SPM 2009. Apa yang sangat signifikan ialah semua calon dapat mengekalkan disiplin diri dan motivasi yang tin sehingga selesai. Saya sempat berkongsi cerita motivasi dan mendendangkan seloka aduhai pak pandir

Friday, July 3, 2009

Jayakan BM SPM laksanakan Seorang Pejuang

Hari ini saya sangat bertuah dapat bersemuka dengan pelajar-pelajar SPM SMK.Limbanak, Penampang. Saya merasakan seperti saya berada di sekolah sendiri. Apa diharapkan kepada pelajar SMK.Limbanak ialah mengekalkan peratus kelulusan 100%. Walaupun bekalan elektrik terputus tetapi perhatian dan kerjasama semua pelajar sangat-sangat membanggakan saya. Kepada semua calon SPM, jayakan BM anda, persis seorang pejuang. Seorang pejuang tidak pernah mengenal putus asa. SPM adalah cabaran yang harus ditempuhi. Saya tidak sangka pula bertemu dengan rakan setugas dulu (Cikgu Kristina Sendulun). Kepada Cikgu Rozita, tahniah kerana dapat mengurus dan mengendalikan program dengan baik.

Wednesday, July 1, 2009

Andai BM perlu kredit SPM?

Ramai rakan-rakan yang mengajukan persoalan tersebut dan meminta pandangan saya. Andai BM dijadiakan sebagai bahasa PERKASA dalam ujana pendidikan negara dan diputuskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, bahawa mata pelajaran ini wajib kredit atau kepujian, sekurang-kurangnya C6 di peringkat SPM sudah tentu menimbulkan pelbagai reaksi sama ada pelajar mahupun ibu bapa. Bagi guru Bahasa Melayu, seperti saya, sudah semestinya menyokong hasrat dan cadangan tersebut.

Friday, June 26, 2009

Guru Alaf Baharu SMK.Narinang

Sejak saya bertugas di SMK.Narinang pada tahun 1998, sudah terdetik dalam minda saya bahawa suatu hari nanti SMK.Narinang akan menjadi sebuah sekolah yang boleh dibanggakan oleh warga sekolahnya. Kini 2009, suatu jangka masa yang lama buat seorang guru seperti saya berada di sekolah luar bandar. Namun, hakikatnya, saya masih setia berada di sini. Masih bersemangat untuk mencurahkan ilmu kepada anak-anak Kadamaian, apatah lagi anak-anak tercinta saya berada di sekolah yang sama. Justeru itu, sebagai guru Bahasa Melayu saya perlu akur dengan perubahan yang baharu iaitu menguasai ICT untuk diaplikasi dalam pengajaran dan pembelajaran BM. Saya percaya kepada inovasi yang baharu akan menarik minat pelajar. Saya harap rakan-rakan guru di SMKN juga berfikir seperti saya..

Thursday, June 25, 2009

Kem Motivasi UPSR SK.Podos

Saya rasa bertuah apabila mendapat pelawaan daripada pihak penganjur Kem Kecemerlangan Pelajar SK.Podos untuk menyampaikan motivasi kepada pelajar UPSR 2009. Saya melihat kesediaan peserta mendengar dan memahami setiap tutur bicara saya. Jauh di sudut hati, terdetik suatu perasaan kagum dengan semangat peserta. Walaupun mereka jauh di pedalaman, namun keinginan untuk maju seperti pelajar di sekolah lain tetap membara. Semoga usaha murni seperti ini dapat diteruskan. Kalau bukan pelajar siapa lagi. Ternyata slogan baru PM sangat bertepatan dalam konteks menglahirkan pelajar yang berkualiti.

Saturday, June 13, 2009

Bahasa Inggeris wajib Lulus

Apabila Tan Sri Muhiddin Yasin mencadangkan pelajar perlu lulus Bahasa Inggeris di peringkat SPM, terdetik dalam hati adakah ini petanda PPSMI akan dimansuhkan. Jika betul, saya tabik Menteri Pelajaran. Saya yakin, pelajar boleh menguasai BI dengan lebih baik. Jika alasan untuk mencari pekerjaan melalui BI sahaja tidak memadai kerana ramai orang yang tidak mempunyai pendidikan tinggi pun boleh berkomunikasi dengan baik dalam BI. Saya menyokong penuh cadangan tersebut dan pada masa yang sama saya mahu melihat Bahasa Melayu kembali diperkasa dalam semua urusan pentadbiran di negara ini.

Sunday, June 7, 2009

Menjadi Ahli Blog Cikgu Ghalib Yunus

Saya baru sahaja diterima sebagai ahli KRGBM Cikgu Ghalib Yunus seorang guru Bahasa Melayu yang sangat terkenal di Malaysia. Kemasukan saya sebagai ahli blog beliau sudah tentu dapat menambahkan ilmu bantu sebagai seorang guru bahasa. Saya yakin melalui pertukaran maklumat akan dapat mengimarahkan lagi semangat untuk terus berkhidmat kepada bangsa dan negara.

Tuesday, June 2, 2009

MENGORBANKAN "KESELESAAN "UNTUK MENCAPAI KECEMERLANGAN

"Untuk berjaya dan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, semua pelajar dan warga pendidik perlu menggalas tugas dan tanggungjawab yang bukan sedikit". Demikian intipati Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Tuan Haji Muhiddin Yusin dalam ucapannya semasa Majlis Hari Anugerah Prestasi Cemerlang & Konvokesyen Tingkatan 6 2008 yang berlangsung di Dewan SMK.Narinang, khamis lalu.
Merasa selesa dengan pencapaian yang diraih sudah tentu tidak menjamin kecemerlangan yang berterusan. Hanya insan yang benar-benar menggunakan talenta yang bersungguh-sungguh sahaja yang boleh mencapai kejayaan dalam hidup

Saturday, April 18, 2009

Sastera Menjana Pemikiran Kreatif Pelajar

Hari ini tanggal yang sangat bersejarah kepada saya dan Sdra Hasyuda Abadi (Ketua Satu, Ikatan Penulis Sabah) kerana dapat bersama-sama dengan para pelajar Kesusasteraan Melayu SMK.Kolombong dalam satu program Teknik Menjawab Soalan Kesusasteraan Melayu. Melalui program tersebut, saya mendapati bahawa sebenarnya pelajar sastera boleh mencapai kecemerlangan dalam pelajaran mereka. Kesusasteraan bukan semata-mata untuk tujuan peperiksaan sahaja, malah lebih dari itu yakni dihayati untuk menjana pemikiran kreatif pelajar dan menyuburkan nilai-nilai murni dalam jiwa pelajar.

Tuesday, April 7, 2009

Pelajar Cemerlang

Menjadi pelajar cemerlang adalah impian semua pelajar. Namun bukan semua pelajar mampu menjadi pelajar yang cemerlang dan terbilang. Hanya pelajar yang benar-benar mempunyai tekad yang berani dan mahu bersaing dengan orang lain sahaja yang boleh menjadi pelajar yang terbilang. Adakah kejayaan dapat dicapai jika pelajar hanya berpeluk tubuh sahaja?

Sunday, April 5, 2009

Nilai Sebuah Puisi

Ketika mengajar sajak di kelas, saya agak terkilan sebab minat pelajar terhadap puisi kurang memberangsangkan. Pada mereka mempelajari sebuah puisi adalah terlalu payah (dengan alasan) hanya pelajar sastera sahaja yang boleh menikmati puisi. Saya dengan tegas menyangkal tohmahan mereka dan menjelaskan panjang lebar akan kecelaruan dan ketidakfahaman mereka terhadap puisi. Sebenarnya mempelajari puisi bukan setakat nak lulus dalam peperiksaan semata-mata. Nilai sebuah puisi pada saya sangat dalam maknanya..

Thursday, March 26, 2009

Pidato Bahasa Melayu Diraja

"Budaya membaca semakin luntur dalam kalangan pelajar!" Ini barangkali sebab kenapa pemidato tidak dapat mengupas sesuatu isu dengan menarik. Demikian inti ucapan Encik Suhaido Rambayau, Penolong Pengawai Jabatan Pelajaran Daerah Kota Belud semasa perasmian penutupan pertandingan Pidato Bahasa Melayu Diraja peringkat Sekolah rendah dan menengah Kota Belud 2009.

Wednesday, March 25, 2009

Cerita Tentang Komsas

Baru saja, Sdra Jasni Matlani menghubungi saya melalui telefon. Saya dan Jasni Matlani agak lama tidak berbual tentang dunia sastera dan budaya. Sdra JM memberitahu saya bahawa karya Abdul Manaf (Ami Manja) telah terpilih sebagai skrip baru dalam Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (Komsas) yang akan berkuatkuasa pada tahun 2010. Saya sendiri terkejut dengan pencapaian sdra Ami Manja, namun lebih terkejut lagi tiada nama-nama besar seperti Jasni Matlani, Hasyuda Abadi, Cikgu Ramlie Jusoh, Maskuji Maturun, Raymond Majumah, Daniel Jebon Janaun (sekadar menyebut beberapa nama) yang terpilih dalam teks baru itu. Apa pun tahniah kepada sdra Ami Manja.

Ucapan Selamat Kepada Datuk Suhaibun Yusuf

Hari ini sdra Abd Nadin Hj.Shaidin menelefon saya, menyampaikan berita sedih bahawa ayahanda Ikatan Penulis Sabah (IPS) Datuk Subaibun Yusuf telah meninggal dunia. Mendengar perkhabaran itu, saya mengalirkan air mata, entah tiba-tiba sahaja saya terasa sayu dan merasa kehilangan yang amat sangat. Rasa kehilangan menerjah memori saya, ya sudah kehilangan seorang ayah 4 tahun lalu.. betapa sulit merasai kehilangan ini..aduhai

Tuesday, March 24, 2009

Komsas Memanusiakan Pelajar

Sebagai mata pelajaran teras dalam SPM, Bahasa Melayu perlu dikuasai oleh semua pelajar. Untuk mendapatkan intipati yang hebat melalui mata pelajaran ini, sudah tentu peranan Komsas(Kompenan Sastera dalam Pembelajaran Bahasa Melayu) tidak boleh dinafikan kepentingannya. Sebenarnya benarlah kata sasterawan dan ribuan penulis di Sabah mengharapkan supaya teks komsas yang dipelejari oleh pelajar itu mendapat imbalan yang sesuai dengan daya taakulan pelajar.