Wednesday, August 5, 2009

Sikap Penentu Kejayaan Seorang Pelajar

Hari ini saya berkesempatan menyampaikan ceramah Teknik Menjawab Bahasa Melayu Kertas 1 & 2 di Dewan SMKN. Berdasarkan pengamatan, saya yakin setiap pelajar mempunyai peluang untuk mencapai kejayaan dalam SPM 2009. Cuma yang perlu diatasi dan dirobah ialah SIKAP pelajar yang membatasi kemampuan mereka yang sebenar. Setiap pelajar dilahirkan untuk berjaya dan memberikan sumbangan yang besar dalam keluarga masing-masing. Sikap yang positif dan mahu berubah ke arah yang lebih baik berbanding sebelumnya adalah sikap terpuji yang harus dipupuk dalam jiwa dan minda pelajar. Saya menyakini kemampuan pelajar-pelajar saya. Usaha, tekad, sikap musahabah diri dan berkat Tuhan pasti menjadikan impian merangkul A1 dalam mata pelajaran Bahasa Melayu -TERCAPAI.

Saturday, August 1, 2009

Kepentingan Memahami Maksud Sajak SPM

Sajak merupakan hasil karya sastera yang mempunyai elemen tersendiri yang perlu difahami sepenuhnya. Berlainan dengan karya lain seperti novel, cerpen, prosa tradisional dan drama, sajak perlu dihayati dengan menggunakan mata lahiriah dan batiniah. Karya sajak dalam Antologi Kerusi dan Anak Laut memerlukan penghayatan yang bukan sedikit. Justeru dalam hal ini, kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar SPM ialah memahami maksud yang tersurat yang dipaparkan dalam sajak tersebut. Selepas memahami intipati maksud sajak barulah pelajar mencari makna tersirat yang dikupas oleh penyair. Kegagalan calon memahami maksud sajak akan memberikan impak negatif terhadap persepsi calon terhadap sesebuah karya sastera. Oleh sebab itu, calon wajib mengkaji setiap sajak sama ada dari aspek intrinsik ataupun ekstrinsiknya..Mudah-mudahan dengan penghayatan dan diskusi sajak yang dibuat semasa P&P serta perbincangan dan Diskusi Kumpulan akan membuah hasil..Ayuh bertindak sekarang!!!

Tuesday, July 28, 2009

Bengkel Pemarkahan BM 1& 2

Pengalaman memeriksa karangan pelajar semasa bengkel pemarkahan Bahasa Melayu Kertas 1 dan Kertas 2, memberikan perasaan yang lain dalam diri saya. Perasaan bangga dan puas hati wujud kerana rakan-rakan yang membaca, menilai dan seterusnya memberikan komen terhadap karangan pelajar yang saya benar-benar menyentuh hati seorang guru Bahasa Melayu seperti saya. Rata-rata rakan sejawat memberikan markah yang tinggi kepada Adik Kelly Sinam- 85%. Saya yakin pelajar ini akan menjadi "ayam tambatan" dalam SPM 2009. Mudah-mudahan..

Sunday, July 26, 2009

Nota Poket dan Kepentingannya

Kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik dapat dinilai melalui keputusan yang mereka raih dan mendapat pengiktirafan daripada pihak sekolah, ibu bapa dan rakan-rakan. Saya melihat satu teknik yang digunapakai oleh pelajar yang cemerlang ialah dengan menggunakan Nota Poket. Nota poket yang sarat dengan nota pendek bagi mata pelajaran teras dan elektif memberikan keyakinan kepada pelajar untuk mengingati sesuatu tajuk/kemahiran. Melalui Nota Poket yang mereka bawa setiap hari di sekolah dapat dibaca dalam apa juga keadaan sama ada semasa menunggu guru masuk ke kelas, menunggu kereta sewa atau dalam apa juga situasi - Nota Poket memang berguna kepada pelajar. Hasilnya, saya melihat ramai pelajar mendapat keputusan yang tinggi ketika keputusan peperiksaan diumumkan. Namun, masih ada pelajar yang tidak menggunakan kelebihan Nota Poket ini.. Alangkah rugi jika pelajar berpandangan sempit dan hanya mengharapkan nota daripada guru..fikir-fikirkanlah ye..

Wednesday, July 15, 2009

Kepentingan Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga

Pagi tadi, ketika bersama-sama dengan pelajar Tingkatan 6RK1, saya dapat merasakan peri pentingnya buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga dimiliki atau sekurang-kurangnya mereka pinjam dari Pusat Sumber Sekolah. Reaksi pelajar yang agak lambat terhadap tajuk yang diajar, adalah disebabkan kurangnya "data" yang cukup mengenai tatabahasa..Saya percaya buku ini akan menjadi teman yang sejati semasa berada di 6RK1 hingga STPM tahun depan. Selain buku ini, buku tatabahasa yang ditulis oleh Prof.Dr.Abdullah Hassan, Prof.Asmah Omar dan Prof Dr.Awang Sariyan juga perlu dibaca. Saya yakin pelajar yang rajin menelaah akan menjadi pelajar yang pintar dan berwibawa.

Sunday, July 12, 2009

Pendekatan SATU

Pendekatan SATU yang saya amalkan dalam pengajaran dan pembelajaran belum lagi menjadi budaya belajar pelajar. Apa yang ditekankan dalam Pendekatan SATU ini ialah memerlukan penglibatan 100% pelajar. SA- Sedia Awal - yang bermaksud pelajar perlu membaca, membuat nota mengenai sesuatu tajuk/topik yang belum diajar oleh guru. Dengan demikian akan memudahkan pelajar tersebut memahami penjelasan guru semasa proses P&P. T-TUMPUAN -yang bermaksud -pelajar perlu memberikan 100% perhatian/tumpuan semasa guru memberikan penerangan. Dengan memberikan tumpuan serta bertanya jika tidak faham-akan memudahkan proses penaakulan pelajar terhadap sesuatu tajuk pelajaran. U pula bermaksud -Ulangkaji. Pelajar perlu membuat ulangkaji sesuatu topik/tajuk pelajaran ketika berada di rumah selepas menyiapkan tugasan/kerja rumah.
Pendekatan inilah yang telah saya jelaskan kepada semua calon SPM di SMK.Tambulian pagi tadi. Saya memberikan penekanan betapa penting membaca makalah yang mengandungi fakta atau membahaskan isu-isu semasa. Pelajar yang kurang membaca akan menghadapi dilema ketika menulis karangan pada peringkat SPM. Malah ada pelajar yang langsung tidak dapat menulis satu ayat pun..kerana kekeringan idea. Jika pelajar rajin membaca buku, majalah seperti Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Kosmik, Pelita Bahasa dsb, sudah tentu gejala 'kemandulan idea" ini tidak akan terjadi kepada pelajar. Kepada semua calon SPM di SMK.Tambulion, saya percaya dan yakin anda semua dapat mencapai kelulusan yang terbaik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, jika mengamalkan Pendekatan SATU..Teruskan perjuangan anda.

Saturday, July 11, 2009

Penghayatan Komsas

Pelajar yang menghadapi SPM 2009 perlu mempunyai pemikiran yang kiris dan kreatif. Penghayatan yang menyeluruh terhadap mata pelajaran ini bukan sahaja memberikan nilai tambah kepada pelajar tetapi akan dapat memberikan keyakinan diri untuk menduduki SPM 2009. Sepanjang pemerhatian saya kepada pelajar yang mengikuti ceramah Teknik menjawab Soalan Bahasa Melayu, saya mendapati pelajar kurang memahami aspek komsas. Ramai antara mereka yang mengatakan bahawa ' mereka tidak mempunyai masa untuk membaca cerpen, drama, prosa klasik apatah lagi novel". Oleh sebab itu, saya menyarankan supaya setiap pelajar perlu memghayati setiap teks dalam antologi Kerusi dan Anak Laut supaya memudahkan pelajar menjawab aspek komsas. Pepatah Melayu mengatakan , "Kalau Tidak Dipecahkan Ruyung, Manakan Dapat Saguny"..